Physical Address

304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Cara Untuk Memohon Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas Dan Teksi (SRSBBT) Di Bawah PEMERKASA Plus

Permohonan dibuka bagi pengusaha-pengusaha bas dan teksi yang layak untuk Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas Dan Teksi (SRSBBT) di bawah PEMERKASA Plus.

SRSBBT untuk pengusaha-pengusaha bas dan teksi di bawah PEMERKASA Plus ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat atau total lockdown mulai 1 Jun baru-baru ini.

Baca juga: Langkah-Langkah Untuk Memohon Moratorium Secara Automatik (3 Bulan) Atau Mengurangkan Bayaran Balik Secara Ansuran Sebanyak 50% (6 Bulan) Di Bawah PEMERKASA Plus

SRSBBT

Apakah SRSBBT?

SRSBBT ialah skim jaminan kerajaan untuk membantu pengusaha-pengusaha bas dan teksi yang layak dengan memberikan lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan lanjutan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan bagi penstrukturan semula pembiayaan sewa beli dan kredit sebagai langkah mitigasi untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 dan tempoh PKP ke atas perniagaan mereka.

Had skim

RM1 bilion.

Tempoh permohonan

Dibuka mulai sekarang sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga had peruntukan skim berjumlah RM1 bilion habis diguna pakai, yang mana lebih awal.

Baca juga: Langkah-Langkah Untuk Menyemak Status Permohonan Bayaran Geran Khas Prihatin (GKP 3.0) Beserta Tambahan Nilainya Di Bawah PEMERKASA Plus

Syarat kelayakan bagi penyewa/peminjam

1) SRSBBT terbuka kepada semua syarikat, pemilikan tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad dengan sekurang-kurangnya 51% saham dipegang dan dikawal oleh rakyat Malaysia, dan terlibat dengan operasi berkaitan sewaan ‘Charter’, lawatan, pengangkutan antara negeri, pengangkutan ekspress, bas sekolah, bas kilang dan teksi.

2) Terma-terma dan syarat-syarat lain mungkin akan ditetapkan, bergantung kepada penilaian kredit dan profil peminjam. Kelayakan juga tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat lain seperti diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Syarat kelayakan bagi syarikat-syarikat pembiayaan sewa beli dan kredit

1) Syarikat-syarikat selain daripada Bank yang menyediakan pembiayaan sewa beli dan kredit untuk pembiayaan bas dan teksi, mestilah berdaftar dengan sistem e-Hakmilik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

2) Syarikat-syarikat ini juga telah bersetuju untuk menyertai SRSBBT dengan menandatangani Perjanjian Induk dengan SJPP.

Usia kenderaan

Bas: Tidak melebihi 12 tahun.

Teksi:  Tidak melebihi 9 tahun.

Cukai jalan kenderaan mesti diperbaharui dan tarikh luputnya haruslah pada atau selepas 30 September 2019, atau kenderaan tersebut telah diperiksa oleh Puspakom Sdn. Bhd. dan memiliki sijil pemeriksaan yang bertarikh pada atau selepas 30 September 2019.

Baca juga: Langkah-Langkah Untuk Menyemak Status Permohonan Bantuan Prihatin Rakyat Tambahan (BPR Tambahan) Di Bawah PEMERKASA Plus

Had jaminan

Bas: Minimum RM30,000 dan maksimum sebanyak RM10 juta (berdasarkan tunggakan prinsipal yang distruktur semula).

Teksi: Maksimum sebanyak RM5 juta (berdasarkan tunggakan prinsipal yang distruktur semula).

Kadar jaminan

Kadar jaminan adalah sebanyak 0.5% setahun bagi amaun perlindungan jaminan. Yuran jaminan akan ditanggung dan dibayar oleh penyewa/peminjam. Yuran jaminan untuk tahun pertama bagi kemudahan yang distruktur semula ini adalah dikecualikan.

Jaminan perlindungan

50% baki tertunggak pinjaman yang telah distruktur semula (tidak termasuk faedah penalti, caj pembayaran lewat, caj-caj lain dan pendahuluan yuran jaminan).

Tempoh jaminan

Tempoh jaminan akan bergantung pada jangka masa pembiayaan yang distruktur semula dan tidak melebihi 9 tahun.

Tempoh lanjutan moratorium

Bagi tempoh baki pinjaman melebihi 12 bulan: tempoh pinjaman akan dilanjutkan selama 36 bulan, termasuk 12 bulan moratorium untuk pembayaran bulanan secara ansuran.

Bagi tempoh baki pinjaman kurang daripada 12 bulan: tempoh pinjaman akan dilanjutkan selama 24 bulan, termasuk 12 bulan moratorium untuk pembayaran bulanan secara ansuran.

LANGKAH-LANGKAH

SJPP

1) Hubungi bank atau syarikat yang menawarkan pembiayaan sewa beli dan kredit bas/teksi anda.

2) Nyatakan kepada syarikat pembiayaan anda tersebut untuk memohon SRSBBT di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

3) SJPP akan memproses permohonan anda dan anda akan dihubungi sekiranya permohonan anda berjaya atau sebaliknya.

Pertanyaan

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai cara untuk memohon Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas Dan Teksi (SRSBBT) di bawah PEMERKASA Plus ini, sila hubungi:

Laman web: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP)

E-mel: [email protected]

Telefon: +603 2096 5000

 

Sumber: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP)

Leave a Reply