Physical Address

304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Cara Untuk Membuat Tuntutan Manfaat Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)

Pelbagai manfaat ditawarkan kepada golongan B40 di bawah Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di bawah inisiatif kerajaan Malaysia.

Apakah Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)?

PeKa B40 merupakan satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Inisiatif ini juga memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama sektor awam dan swasta, lebih-lebih lagi di peringkat penjagaan kesihatan primer.

Baca juga: Cara Untuk Membuat Tuntutan Penyakit Kritikal Dan Hospitalisasi Di Bawah Skim mySalam

PeKa B40 diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 19 Disember 2016 sebagai anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia (PHM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.

Objektif PeKa B40

PeKa B40 bertujuan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Syarat kelayakan PeKa B40

Ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria berikut:

  • Penerima Bantuan Prihatin Rakyat dan pasangannya yang berdaftar.
  • Berumur 40 tahun dan ke atas.

Manfaat PeKa B40

1) Saringan Kesihatan

2) Bantuan Alat Perubatan

3) Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

4) Insentif Tambang Pengangkutan

Bayaran yang dikenakan

Percuma.

LANGKAH-LANGKAH

1) Tiada pendaftaran khusus diperlukan. Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 40 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40.

Semakan boleh dibuat dengan hanya memasukkan nombor MyKad menggunakan di: https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan

1 Syarat kelayakan PeKa B40

2) Untuk Manfaat 1: Saringan Kesihatan, kunjungi mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40 dan mempunyai pelekat PeKa B40 di pintu klinik (rujuk senarai di sini) atau mana-mana klinik kesihatan kerajaan yang mempunyai doktor bertugas.

2 Senarai klinik

Senarai pemeriksaan kesihatan:

  • Pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
  • Saringan kesihatan mental
  • Pemeriksaan fizikal
  • Pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko

Senarai pemeriksaan makmal:

  • Ujian darah
  • Ujian kawalan gula dalam darah
  • Ujian paras kolesterol
  • Ujian fungsi buah pinggang

3) Untuk Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan, permohonan hanya boleh dibuat di Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital KKM sahaja. Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat akan mengesahkan jenis peralatan yang diperlukan dan membuat rujukan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

Senarai 10 kategori alat perubatan (had maksima RM20,000 dan tertakluk kepada julat harga kategori):

  • Stent untuk jantung
  • Alat sendi tiruan
  • Alat bantuan pendengaran
  • Perentak jantung
  • Prostesis dan implan untuk tulang belakang
  • Prostesis dan ortosis tulang anggota
  • Kanta mata intraokular (untuk pesakit katarak)
  • Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
  • Bantuan sokongan nutrisi
  • Kerusi roda

4) Untuk Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser, doktor atau pakar perubatan yang merawat akan membuat permohonan bagi pihak penerima.

Jumlah insentif sebanyak RM1,000 akan diberikan dalam 2 peringkat:

  • Peringkat pertama – RM300: Apabila permohonan diterima daripada Hospital KKM mengikut proses yang ditetapkan (dikreditkan terus ke dalam akaun penerima).
  • Peringkat kedua – RM700: Setelah penerima manfaat tamat pelan rawatan kanser seperti yang disahkan oleh doktor yang merawat (dikreditkan terus ke dalam akaun penerima).

5) Untuk Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan, Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau Pegawai Perubatan yang merawat akan membuat permohonan dan sistem KKM akan mengira jumlah bayaran berdasarkan jarak yang ditentukan.

Insentif tambang pengangkutan akan diberikan bagi perjalanan pergi dan balik untuk rawatan kanser (Manfaat 3) dan rawatan untuk menggunakan/memasukkan alat perubatan (Manfaat 2) di Hospital KKM mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan bergantung kepada jarak rumah pesakit dengan hospital.

  • Had maksimum sebanyak RM500 (Semenanjung) atau RM1000 (Sabah/Sarawak Labuan) bagi setiap penyakit (dibayar ke dalam akaun penerima untuk setiap kali perjalanan pergi dan balik hospital/rumah).

Maklumat lanjut

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai cara untuk membuat tuntutan manfaat Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), sila hubungi:

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
F01 & F02, Tingkat 1, Blok 2300,
Century Square, Jalan Usahawan,
63000 Cyberjaya,
Selangor Darul Ehsan​.

Telefon: 03-8687 2525
E-mel: [email protected]

Sumber: Laman Rasmi ProtectHealth

Leave a Reply